Pasaran saham Amerika Syarikat (AS) memperlihatkan sahamnya menjunam dari keuntungan selepas Federal Reserve (Fed) beri isyarat kenaikan kadar bakal berlaku lebih cepat dari jangkaan.
Sementara itu, sentimen kebimbangan memuncak apabila krisis Rusia-Ukraine terus membuatkan harga minyak mencapai paras yang tidak pernah dicatat sejak 2014.
Indeks-indeks utama saham, Dow Jones Industrial jatuh 0.38%, S&P turun 0.15% sementara Nasdaq Composite capai 0.02% selepas pengerusi Fed, Jerome Powell, mengumumkan kemas kini dasar yang mencadangkan Fed akan meneruskan kenaikan kadar faedah.
Indeks ekuiti MSCI dunia yang menjejaki saham 45 negara lain kekal mendatar.
Antara intipati kemaskini dasar polisi Fed adalah cadangan kenaikan kadar pada bulan Mac dan pengesahan rancangan penamatan program pembelian bon sebelum melancarkan pengurangan ketara dalam pegangan asetnya.
Selain itu, Powell turut menyuarakan amaran bahawa inflasi menjadi keutamaan Fed dan isu rantaian bekalan akan berterusan.
Ekoran daripada itu, sentimen pelabur mulai keruh kerana Fed dijangka akan mengutamakan rancangan memerangi inflasi daripada memastikan pertumbuhan ekonomi yang teguh.
Hasil perbendaharaan memperlihatkan lonjakan sejurus selepas kemaskini Fed dikeluarkan dengan hasil perbendaharaan 2 tahun mencapai ke paras tertinggi sejak Febuari 2020 dan penanda aras hasil 10 tahun AS capai 1.8709%.
Indeks dolar yang menjejaki sejumlah 6 mata wang lain naik 0.58%, iaitu paras tertinggi 3 minggu.
Dalam pada itu, krisis Rusia-Ukraine yang berterusan memacu harga minyak ekoran kebimbangan gangguan bekalan yang menyaksikan harga minyak bersih naik US$90 setong buat kali pertama sejak 2014.
Harga minyak mentah Brent naik 1.55% pada $89.57 setong dan harga minyak mentah AS tambah 1.65% pada $87.01 setong.
Harga spot emas turun 1.64% pada $1,817.31 per auns.