‘Barang lebih tapi tak ada orang nak hantar pulak, masalah besar betul tu.’
Syarikat pembuat kereta elektrik (EV), Tesla Inc mencatat penurunan pada sahamnya semasa sesi dagangan positif Wall Street semalam.
Faktor penurunan tersebut dikaitkan dengan laporan logistik yang mengecewakan, sehingga berlaku peningkatan pada bilangan kenderaan yang sedang dalam perjalanan kepada pelanggan.
Menurut kenyataan rasmi syarikat, isu penghantaran telah menyebabkan hanya 343,830 kenderaan Model 3 dan Model Y dalam perjalanan ke pelanggan untuk suku ke-3 sementara jumlah sasaran pasaran pada 358,000.
Turut digariskan adalah peningkatan volum pengeluaran telah memberi kesan kepada kapasiti pengangkutan, di sebalik usaha untuk mencari kos logistik yang berpatutan semasa minggu puncak (peak weeks).
Hasilnya, berlaku lebihan kenderaan dalam transit pada akhir suku ke-3 sedang syarikat cuba beralih kepada campuran pengeluaran serantau yang lebih sekata.
Umumnya, Tesla mengamalkan penghantaran besar-besaran menjelang hujung setiap suku dan perkara ini membawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Elon Musk untuk cuba menyeragamkan pengeluaran di semua wilayah utama.
Ekoran itu, Musk telah membuka kilang Tesla pertamanya di Eropah namun ia dilihat masih gagal menyelesaikan masalah penghantaran selain isu kekurangan komponen semikonduktor lain.
Dalam pada itu, penganalisis Cowen & Co iaitu Jeffrey Osborne masih mengekalkan penarafan ‘hold’ pada saham Tesla dengan mengatakan masalah logistik tersebut akan dimasukkan dalam laporan suku ke-3 sebagai isu permintaan.
Rententan itu, pendaftaran bulanan dan keputusan suku seterusnya perlu dipantau untuk menilai keadaan dengan lebih baik.
Setakat penulisan ini saham Tesla diniagakan rendah 8.61% pada $242.40 dalam persekitaran positif Wall Street.