Pasaran Wall Street bercampur selepas laporan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengemukakan bukti bahawa varian Omicron hanya bergejala ringan daripada varian sebelumnya.
Indeks purata Dow Jones Industrial naik 247.62 mata atau 0.68% pada 36,832.68 hasil dorongan saham perbankan dan sektor industri selepas kebimbangan mengenai varian Omicron berterusan mengurang.
Namun, indeks S&P 500 susut 4.02 mata atau 0.08% pada 4,792.54 dan Nasdaq Composite jatuh 258.67 mata atau 1.63% pada 15,574.13 kerana diheret turun oleh penurunan saham wajaran tinggi seperti Amazon.com, Microsoft Corp, Nvidia Corp dan Tesla Inc.
Menurut ketua strategi pasaran National Securities New York, Art Hogan, beberapa hari pertama tahun baru akan menyaksikan kemasukan wang baru dan akan menyebabkan keadaan kurang menentu kerana ramai sedang membuat keputusan dalam mengimbangi semula portfolio.
Dalam pada itu, WHO melaporkan walaupun penyebaran varian Omicron ‘pantas’ simptom yang ditunjuk sederharna dan secara tidak langsung ia memberi sedikit harapan bahawa ia tidak seteruk varian sebelum ini yang mengakibatkan banyak kematian.
Selain itu, minit mesyuarat berkenaan perbincangan bank pusat mengenai menamatkan plan pembelian bon pada 2022 yang akan menyaksikan kenaikan kadar sebanyak 3 kali tahun ini akan dikeluarkan pada Rabu.