‘Selain menari, lepas ni boleh jugak main game dalam TikTok.’
Desas-desus kuat mengatakan bahawa pesaing utama Facebook milik Meta Platfrom Inc, TikTok sedang menguji fungsi permainan (gaming) ke dalam aplikasinya.
Menurut sumber, pasaran Vietnam menjadi sasaran bagi pengujian fungsi gaming tersebut dalam usaha syarikat untuk menembusi perniagaan permainan.
Dikatakan juga TikTok milik ByteDance China merancang untuk melancarkan fungsi gaming mereka secara meluas di pasaran Asia Tenggara seawal suku ke-3.
Namun, kesahihan mengenai pelancaran tersebut masih tidak dapat dipastikan.
Wakil TikTok hanya menyatakan syarikat sedang menguji permainan HTML5, bentuk permainan mini, melalui kerjasama dengan pembangun permainan pihak ke-3 dan studio seperti Zynga Inc.
Akan tetapi, terdapat suber yang mengatakan TikTok merancang untuk menggunakan rangkaian permainan ByteDance sebagai terasnya.
Difahamkan juga, pasaran Vietnam dipilih kerana 70% rakyatnya yang berusia bawah 35 tahun celik teknologi dan merupakan pasaran aktif dalam pengguna aplikasi media sosial termasuk YouTube dan Google.
Sebagai pengetahuan, fungsi gaming sudah lama diperkenalkan oleh ByteDance ke dalam aplikasi Douyin, TikTok versi China, pada tahun 2019 lalu.
Selain itu, rancangan TikTok ini bukan juga sesuatu yang baharu kerana Facebook pernah melancarkan fungsi ‘Instant Games‘ pada 2016 dan Netflix turut sama berbuat sedemikian baru-baru ini.
Sungguhpun begitu, rancangan memasukkan permainan ke dalam TikTok pasti akan meningkatkan hasil pengiklanan serta jumlah masa yang dihasilkan pengguna, yang kini memiliki lebih 1 bilion pengguna aktif bulanan.
Walaupun tanpa fungsi gaming, hasil pengiklanan TikTok sahaja sudah berganda sebanyak 3 kali ganda tahun ini sebanyak US$11 bilion, melepasi gabungan penjualan pada Twitter Inc dan Snap Inc.