Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) akhirnya bersetuju menyekat sebahagian besar import minyak Rusia pada hari Isnin, sekali gus membuka jalan bagi pakej sekatan keenam itu untuk menghukum Presiden Vladimir Putin berikutan pencerobohan ke atas Ukraine.
Pakej itu akan melarang pembelian minyak mentah dan produk petroleum dari Rusia yang dihantar ke negara anggota melalui laut tetapi memberi pengecualian sementara untuk penghantaran minyak melalui saluran paip.
Keputusan ini dibuat sebagai kompromi kepada Hungary yang sebelum ini tidak bersetuju dengan cadangan EU untuk mengharamkan minyak Rusia secara menyeluruh kerana ia akan memberi impak besar ke atas ekonominya. Hungary akan tetap memperoleh minyak Rusia dari saluran paip.
Sekatan itu akan merangkumi 90% daripada semua import dari Rusia memandangkan Poland dan Jerman secara sukarela bersedia mengurangkan pembelian mereka yang juga melalui saluran paip dan menghentikannya menjelang akhir tahun ini.
Dua pertiga daripada minyak Rusia yang diimport oleh EU datang melalui kapal tangki dan satu pertiga oleh saluran paip Druzhba.
Pengumuman tersebut dibuat Presiden Majlis Eropah, Charles Michel melalui ciapan di akaun twitternya pada akhir hari pertama sidang kemuncak EU yang berlangsung selama dua hari.
Langkah-langkah lain dalam pakej sekatan EU yang dicadangkan juga merangkumi sekatan ke atas tiga lagi bank Rusia daripada sistem pembayaran antarabangsa SWIFT, termasuk pemberi pinjaman terbesar, Sberbank.