‘Macam roti rupanya permohonan penyenaraian ni, ada expired date.’
Cita-cita Top Glove Corp Bhd yang ingin disenaraikan pada bursa di Hong Kong, China dilihat tidak kesampaian apabila permohonan tawaran awam permulaan (IPO) didapati telah luput.
Menurut sumber, Top Glove sebelum ini merancang untuk menjana US$347 juta atau RM1.51 bilion melalui penyenaraian di bursa Hong Kong.
Namun, rancangan tersebut telah tertangguh sebanyak 2 kali ekoran ketidaktentuan keadaan semasa berlakunya perang diantara Rusia dan Ukraine tercetus.
Sedar tidak sedar tarikh permohonan tersebut telah luput dan pihak Top Glove tidak menunjukkan sebarang indikasi baharu untuk menghantar semula permohonan.
Menerusi kenyataan rasmi syarikat, mereka akan menilai keperluan kapital masa depannya dan membuat pengumuman yang diperlukan dalam masa terdekat.
Sebagai rekod, permohonan penyenaraian Top Glove sebelum ini pernah luput pada Ogos 2021 ekoran beberapa faktor yang memaksa syarikat menangguhkan rancangannya.
Faktor penangguhan tersebut adalah untuk memberi ruang kepada syarikat menyelesaikan isu larangan import oleh Amerika Syarikat (AS) atas dakwaan amalan buruh paksa.
Kastam AS telah menarik balik larangan yang dikenakan pada September selepas selesai menjalankan siasatan.
Kemudian, pengeluar sarung tangan getah tersebut telah memanfaatkan permintaan yang mencanak semasa Covid-19 melanda dengan mengukuhkan penyenaraian di kuala Lumpur dan di Singapura.
Berkait dengan perkara itu, Top Glove telah mengintai peluang untuk memasuki pasaran Hong Kong dengan merancang untuk mengumpul $1.9 bilion.
Namun, nilai tersebut telah dikurangkan kerana kebimbangan terhadap isu buruh.
Nota penulis:
Salam dihulur tanda ingatan,
Moga ukhwah sentiasa berkekalan,
Selamat Hari Raya Aidilfitri Intraday.my titipkan,
Buat pembaca dan kenalan.