Pergerakan pasaran terus bercampur-campur apabila pelabur menyaksikan pengukuhan semula yang dipaparkan oleh mata wang US dolar pada Rabu semalam.
Aktiviti penjualan saham yang berlaku pada penghujung pasaran Wall Street telah meningkatkan semula US dolar sebagai mata wang safe-haven.
Hasil perbendaharaan 10 tahun Amerika Syarikat (AS) semakin susut ke paras lebih rendah mencecah 3.85% sementara indeks dolar (DXY) diperhatikan berlegar di bawah paras 102.50 mata setelah sedikit meningkat.
Menyokong pengukuhan US dolar di sesi New York semalam apabila data keyakinan pengguna AS untuk tinjauan November didapati meningkat lebih tinggi dari angka ramalan.
Juga diterbitkan pada waktu yang sama adalah data jualan rumah sedia ada di AS yang turut catat pertambahan lebih tinggi pada November berbanding bulan sebelumnya.
Tumpuan seterusnya untuk pergerakan US dolar dilihat akan dipacu oleh bacaan akhir untuk pertumbuhan ekonomi AS suku ketiga pada sesi New York malam ini sebelum data indeks PCE pada Jumaat akan jadi perhatian menuju penutup dagangan penghujung minggu.
Jika data-data ekonomi AS terus hadir dengan bacaan yang memberangsangkan, US dolar dilihat masih lagi akan mengekalkan pengukuhannya dan mengurangkan tekanan kerugian yang berlaku minggu lalu.
Kini mata wang utama lain dalam pasaran kembali ditekan jatuh semula susulan US dolar telah kembali mengukuh.
Pound Sterling antara mata wang dengan prestasi harian tercorot semalam berikutan dipengaruhi oleh data inflasi UK yang diterbitkan dengan bacaan lebih rendah dari jangkaan.
Mata wang Asia, dolar Australia dan New Zealand juga masing-masing kembali susut dari paras tertinggi 5 bulan yang berjaya dicapai semalam, memberi amaran semula kepada para pelabur.
Perkembangan pasaran komoditi, harga minyak mentah bagi kedua-dua penanda aras WTI dan Brent sedikit susut, namun masih mengekalkan corak pemulihan harga sejak minggu lalu.
Sementara dagangan emas pula mendatar sepanjang Rabu semalam, masih belum meneruskan kenaikan lebih tinggi melepasi zon $2,050 setelah lonjakan semula dipamerkan pada Selasa lalu.