Pembukaan 2023 yang tragis buat syarikat tekstil terkenal, Jakel apabila cawangan kedua termaju di Shah Alam alami kebakaran yang dahsyat.
Orang ramai berpusu-pusu menyaksikan kejadian tersebut ekoran kebakaran berlarutan sepanjang hari selain tular di semua media sosial.
Insiden tersebut berlaku pada 1 Januari sekitar jam 7 pagi dengan kebakaran dikatakan bermula di tingkat 1, dilaporkan berpunca daripada litar pintas.
Ketika kejadian, premis belum beroperasi dan tiada pekerja di dalamnya.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel, kerugian yang dialami dianggarkan sekitar RM100 juta untuk nilai bangunan yang membabitkan 19 buah rumah kedai dan 5 rumah kedai lima tingkat.
Jumlah tersebut tidak termasuk dengan produk dan barangan jualan yang keseluruhannya hangus dijilat api.
Timbul dakwaan bahawa kebakaran tersebut adalah disengajakan untuk mendapatkan tuntutan bayaran insurans, namun dinafikan oleh Mohamed Faroz kerana dikatakan dakwaan tersebut tidak logik.
Cawangan Jakel di Seksyen 7, Shah Alam itu adalah gedung yang kedua termaju selepas Jakel Mall Kuala Lumpur dan menjana keuntungan sehingga RM300 juta setahun.
Tambahan, musim perayaan semakin hampir dan adalah tidak munasabah untuk membuat ‘helah kotor’ itu ketika waktu puncak untuk pelanggan melawat ke premis jualan tersebut.
Ketika jualan akhir tahun dan beberapa bulan lagi sebelum perayaan Aidilfitri, tambahan syarikat sedang maju dan bukannya bermasalah, adalah tidak logik untuk sengaja ‘menghanguskan’ perniagaan.
Berkenaan video tular pegawai bomba membawa anjing pengesan selepas api berjaya dipadamkan, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Bomba Selangor Norizham Mohd Nurdin memaklumkan bahawa itu adalah prosedur biasa dalam penyiasatan kebakaran.
Walaupun mengalami kerugian besar, namun Mohamed Faroz redha dengan kejadian ini dan menyatakan ada hikmah di sebaliknya.
Beliau mengajak pelanggan-pelanggan setia Jakel untuk berkunjung ke premis utama di Jakel Mall Kuala Lumpur, Bangi dan Bandar Tun Hussien Onn, Cheras.
Selain itu juga, pihak Jakel akan mencari lokasi sementara di sekitar Shah Alam untuk jualan sempena Ramadhan dan Aidilfitri ekoran cawangan tersebut menjadi tumpuan ramai.