Bursa Malaysia mengalami penurunan berterusan menjelang penerbitan laporan KDNK suku ketiga sejajar dengan petunjuk pasaran yang lemah daripada Wall Street.
Tepat jam 2.15 tengahari tadi, FBM KLCI turun sebanyak 3.81 kepada 1,460.87 dan FBM SHA turun 28.14 kepada 11,005.26.
Keluasan pasaran adalah negatif dengan bilangan kaunter rugi melebihi kaunter untung iaitu 170 berbanding 107 dan 237 kaunter tidak berubah. 1,876 tidak diniagakan serta 24 kaunter digantung dagangan.
Ini menjadikan jumlah dagangan sebanyak 331.67 juta unit yang bernilai RM65.39 juta.
Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata prestasi Wall Street dalam tempoh semalaman ditutup bercampur-campur berikutan kenaikan baru-baru ini apabila pelabur menilai semula data ekonomi AS yang tidak begitu memberangsangkan.
Antaranya peningkatan tuntutan pengangguran AS dan pengeluaran perindustrian yang lebih rendah daripada jangkaan.
Di dalam negara, Thong berpendapat bahawa bursa tempatan akan diniagakan dalam jajaran kecil dengan kecenderungan meningkat, sekali gus mengunjurkan indeks dalam anggaran 1,460-1,470.
Penganalisis lain berkata bahawa pelabur turut memantau laporan KDNK Malaysia hari ini dan pakar ekonomi mengunjurkan pertumbuhan 3.2-3.3% berbanding 2.9% pada suku sebelumnya.