Prestasi Astro Malaysia Holdings Bhd terus merudum pada suku kedua tahun kewangan 2024, mendorong sahamnya jatuh ke paras terendah sepanjang masa.
Pada suku kedua yang berakhir 31 Julai 2023, keuntungan bersih Astro merosot 75.98% kepada RM23.65 juta daripada RM98.47 juta setahun sebelumnya susulan kos operasi yang lebih tinggi dan kerugian pertukaran asing (forex).
Sementara, hasil bagi suku tersebut pula susut 5.56% kepada RM869.82 juta daripada RM981.12 juta setahun lalu susulan penurunan dalam hasil langganan, pengiklanan dan jualan barangan.
Keseluruhannya, pada separuh pertama 2024, keuntungan bersih Astro turun 80.08% kepada RM39.55 juta berbanding RM198.48 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.
Selain itu, hasil pula turun 6.49% kepada RM1.76 bilion, daripada RM1.88 bilion setahun lalu.
Ekoran daripada prestasi yang menyuramkan itu, saham Astro merosot ke paras terendah sepanjang masa (all time low) pada awal dagangan hari ini.
Kaunter itu dibuka dua sen lebih rendah pada 49 sen dan mencecah paras terendah pada 46.5 sen, sebelum mengurangkan kerugian untuk didagangkan sekitar 47.5 sen dengan nilai pasaran RM2.46 bilion.