Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying memaklumkan bahawa setakat 30 November, lebih 84% daripada 16.5 juta rakyat Malaysia yang layak iaitu 13.9 juta pengguna telah menikmati harga petrol RON95 RM1.99 seliter di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Beliau turut menyatakan bahawa dalam tempoh yang sama, Budi95 mencatatkan jualan sebanyak RM5.16 bilion, bersamaan dengan penggunaan petrol sebanyak 2.59 bilion liter.
Lim menjelaskan bahawa kerajaan dijangka menjana penjimatan sekitar RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, tertakluk kepada harga minyak global dan berdasarkan data tinjauan penggunaan domestik sebelum pelaksanaan BUDI95.
Lim juga berkata memandangkan program subsidi petrol RON95 bersasar hanya bermula pada 30 September, penjimatan tahunan hanya dapat diukur mulai 2026.
Kenyataan itu dibuat ketika beliau menjawab soalan Dr Lingeshwaran R Arunasalam mengenai penjimatan fiskal kerajaan sebulan selepas pelancaran program subsidi bersasar BUDI95.
Sementara itu, julat penjimatan ini mengambil kira pelbagai senario harga minyak mentah global antara $60 hingga $80 setong, selain pelaksanaan penghapusan subsidi untuk segmen bukan sasaran, termasuk bukan warganegara dan pengguna komersial.
Tumpuan tahun 2025 akan terus diberikan kepada pemantauan serta penambahbaikan mekanisme pelaksanaan bagi memastikan sistem BUDI95 kekal stabil dan mesra pengguna, di samping membantu mengurangkan ketirisan subsidi.
Penjimatan daripada pelaksanaan pelbagai subsidi bersasar, termasuk BUDI95 telah mewujudkan ruang fiskal lebih luas untuk kerajaan, sekali gus memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat.























































