Pengeluar cip Amerika Syarikat (AS), AMD telah mengembangkan operasi di Malaysia dengan membuka pejabat dan makmal kejuruteraan baharu di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Menurut AMD, Invest-in-Penang Bhd (InvestPenang) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), kemudahan seluas 209,000 kaki persegi di GBS by the Sea ini direka untuk menyokong lebih 1,200 pekerja dengan ruang kerja terbuka dan makmal kejuruteraan canggih.
InvestPenang merupakan agensi pelaburan peringkat negeri, manakala Mida pula berperanan sebagai agensi pelaburan peringkat kebangsaan.
Naib Presiden Kanan AMD, Keivan Keshvari berkata kemudahan baharu itu akan memperkukuh pembangunan penyelesaian berprestasi tinggi dan kecerdasan buatan (AI) generasi akan datang serta mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab inovasi teknologi.
Beliau juga memberitahu dengan peralihan global pantas ke arah teknologi sempadan seperti AI, kerajaan Pulau Pinang melalui InvestPenang akan terus komited untuk menyokong pelabur progresif seperti AMD.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow turut menegaskan bahawa kehadiran lima dekad AMD di negeri ini mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan yang mampan dan berkembang pesat.
Semasa Sidang Kemuncak ASEAN AI Malaysia 2025, AMD melancarkan Awan Pembangun di Malaysia dengan menawarkan 100,000 jam pengkomputeran awam unit pemprosesan grafik (GPU) percuma untuk menyokong penyelidikan AI dan pembangunan bakat tempatan.