Menurut The New York Times, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meluaskan sekatan visa terhadap pemegang pasport Palestin dengan menggantung semua jenis visa pelawat bukan imigran.
Penggantungan itu kini meliputi permohonan visa untuk rawatan perubatan, pengajian universiti, urusan perniagaan serta lawatan ke rumah rakan atau keluarga.
Langkah ini, yang diumumkan oleh Jabatan Negara AS pada 18 Ogos kepada kedutaan dan konsulat, memperluas secara ketara sekatan yang sebelum ini hanya dikenakan kepada penduduk Gaza.
Selain itu, polisi terbaharu ini turut menyasarkan rakyat Palestin di Tebing Barat dan komuniti diaspora.
Jabatan Negara AS menyatakan keputusan itu dibuat atas alasan keselamatan negara, dengan menuduh pemimpin Palestin gagal menolak keganasan.
Pada awal bulan ini, pentadbiran Trump membatalkan visa beberapa anggota Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Pihak Berkuasa Palestin, sekaligus menghalang mereka menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.