Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 akan mula dikreditkan kepada 8.6 juta penerima di seluruh negara mulai Selasa esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pembayaran tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM2 bilion untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah.
Anwar berkata jumlah penerima fasa 3 telah meningkat sebanyak 300,000 orang berbanding 8.3 juta penerima fasa 1 pada Januari lalu, hasil daripada pembukaan permohonan dan rayuan sepanjang tahun.
Beliau turut menjelaskan STR berperanan sebagai suntikan sokongan kepada penerima bagi membantu mencapai kebebasan kewangan serta merealisasikan matlamat kesaksamaan dalam Ekonomi Madani.
Pembayaran akan dikreditkan secara berperingkat terus ke akaun bank penerima, manakala mereka yang tidak memiliki akaun bank boleh menuntutnya di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu mengemukakan permohonan untuk membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR sebelum dimuktamadkan.