Rakyat Malaysia teruja menantikan Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan hari ini oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pembentangan kali ini dijangka memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara.
Tumpuan aspek dalam belanjawan adalah penting kerana ia bakal menentukan hala tuju ekonomi Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan global dan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Kerajaan dijangka mengekalkan pendekatan berhemah dalam pengurusan fiskal sambil memperkukuh perlindungan sosial kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Antara langkah yang dijangka diumumkan termasuk penambahbaikan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), selain pelaksanaan subsidi bersasar bagi mengelak ketirisan.
Belanjawan 2026 juga dijangka menekankan pembangunan infrastruktur, pelaburan hijau serta inisiatif digital bagi meningkatkan daya saing ekonomi negara.
Dalam masa sama, kerajaan dijangka memperkenalkan langkah bagi memperkukuh hasil negara tanpa memperkenalkan cukai baharu yang membebankan rakyat, termasuk potensi peluasan cukai karbon dan duti eksais tertentu.
Anwar sebelum ini menegaskan bahawa Belanjawan MADANI 2026 bukan sekadar dokumen kewangan, tetapi satu komitmen untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang seimbang dan inklusif.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus mengutamakan kesejahteraan rakyat sambil mengekalkan disiplin fiskal bagi memastikan kestabilan ekonomi jangka panjang.