Pasaran didagangkan tidak menentu menuju penutup Ogos ini dengan prestasi US dolar juga dilihat bercampur-campur.
Arah pergerakan harga berubah-ubah dengan US dolar melemah semula di sesi New York semalam selepas paparkan pemulihan di sesi-sesi sebelumnya.
Isyarat untuk pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) pada mesyuarat September hadapan menjadi faktor utama menekan US dolar ketika ini.
Presiden Fed New York, John Williams pada Rabu mengatakan bahawa kadar faedah cenderung untuk diturunkan namun para penggubal dasar perlu menilai data-data terbaru yang hadir sama ada langkah tersebut adalah bersesuaian atau sebaliknya.
Bakal diberikan perhatian pada sesi New York malam ini adalah laporan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) untuk suku kedua 2025.
Bacaan kedua ini dijangka sedikit meningkat kepada 3.1% berbanding terbitan pertama pada bulan lepas dengan angka pertumbuhan dicatatkan adalah 3.0%.
Turut akan diterbitkan bersama adalah data tuntutan faedah pengangguran AS untuk angka minggu lepas.
Seterusnya, petunjuk berikutnya pasaran adalah pada indeks harga PCE yang mengukur perbelanjaan penggunaan peribadi, bakal diterbitkan pada sesi New York Jumaat esok.
Dalam perkembangan yang lain, penganalisis pasaran tidak melihat drama antara Presiden Donald Trump dan Gabenor Fed Lisa Cook akan diberi tumpuan yang berpanjangan dalam pasaran.
Namun sedikit sebanyak tetap mempengaruhi kebimbangan pelabur terhadap kestabilan politik dan kepimpinan untuk ekonomi terbesar dunia itu.
Peguam Cook memaklumkan beliau akan memfailkan tuntutan mahkamah untuk mengelakkan pemecatan beliau dari jawatannya setelah diugut Trump
Sementara Trump juga dikatakan sudah bersedia untuk menentang tindakan Cook dalam usaha untuk menyingkirkannya dari institusi kewangan tersebut.