CelcomDigi Bhd, syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia mengumumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Idham Nawawi akan meletakkan jawatan pada 31 Ogos ini.
Menurut syarikat tersebut, Idham menamatkan perkhidmatan atas alasan peribadi selepas tiga tahun menerajui CelcomDigi termasuk fasa-fasa awal integrasi pasca penggabungan bersejarah Celcom dan Digi pada 30 November 2022.
Pengerusi Lembaga Pengarah CelcomDigi, Tengku Datuk Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz merakamkan ucapan penghargaan kepada Idham atas sumbangannya dalam membina asas bagi pertumbuhan masa depan syarikat.
Lembaga pengarah telah melantik Timbalan CEO, Albern Murty sebagai pemangku CEO mulai 1 September 2025 bagi memastikan peralihan kepimpinan berjalan lancar.
Albern merupakan seorang tokoh yang memiliki pengalaman selama 22 tahun dalam industri telekomunikasi termasuk 7 tahun berkhidmat sebagai CEO Digi.Com Bhd.
Namun begitu, Idham akan terus berkhidmat sebagai Penasihat Lembaga Pengarah sehingga 30 November bagi menyokong Albern dan pasukan pengurusan sepanjang tempoh peralihan.
Beliau menyertai Celcom Axiata pada 1 September 2018 dan berperanan memacu transformasi syarikat serta merancang penggabungan Celcom dan Digi bagi membentuk peneraju utama telekomunikasi negara.
Lembaga pengarah syarikat akan memulakan proses carian rasmi bagi jawatan CEO baharu dengan menilai calon dalaman dan luaran untuk memimpin syarikat ke fasa pertumbuhan seterusnya.