China terus meninggalkan 2024 dengan mencipta sejarah baharu apabila rekod eksport kenderaan elektrik (EV) melepasi 2 juta unit buat kali pertama, menurut Lu Daliang, Pengarah Jabatan Analisis Statistik di Pentadbiran Am Kastam China pada Isnin.
Kejayaan ini didorong oleh permintaan tinggi motosikal dan basikal elektrik, dengan nilai eksport melebihi 40 bilion yuan ($5.45 bilion).
Namun, adakah 2025 bakal sama?
Persatuan Kereta Penumpang China (CPCA) memberi amaran bahawa eksport EV mungkin berhenti berkembang atau tidak mencatat sebarang pertumbuhan, terkesan oleh tarif tambahan Kesatuan Eropah dan siasatan subsidi sepanjang tahun.
Tambahan pula, penghantaran ke Rusia dan beberapa pasaran utama lain diramalkan akan mula menyusut.
Walaupun China kekal sebagai pengeksport kereta terbesar dengan 4.8 juta unit pada 2024, keuntungan industri terus merosot mencatatkan margin keuntungan hanya 4.4% berbanding 6.2% pada 2020.
Bagi pasaran domestik, penjualan NEV melonjak kepada 47.2% daripada keseluruhan jualan, hampir mencapai penanda 50%, dibantu oleh program subsidi kerajaan.
Jika cabaran tarif dan keuntungan tipis terus menghimpit, adakah China mampu kekal di hadapan, atau bakal dihimpit persaingan global yang semakin sengit?