Berdasarkan laporan kewangan beraudit 2023, Prasarana Sdn Bhd (Prasarana), Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) merupakan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MKD] yang mencatatkan kerugian.
Kementerian Kewangan menjelaskan kerugian syarikat terbabit berpunca daripada pelaksanaan projek infrastruktur awam, khususnya pengangkutan rel dan jambatan bagi menyediakan perkhidmatan berpatutan kepada rakyat.
Kementerian itu turut menegaskan bahawa sebagai pemegang saham majoriti, MKD sentiasa memperkukuh kawalan untuk memantau prestasi syarikat dan tadbir urus syarikat agar selaras dengan objektif serta mandat penubuhan.
Antara langkah pemantauan yang dilaksanakan termasuk pembentangan pelan perniagaan tahunan, penetapan serta laporan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) suku tahunan, selain penyediaan laporan kewangan beraudit tahunan dan pengurusan kewangan suku tahun.
MKD juga mengadakan Mesyuarat Corporate Improvement Programme (CIP) bagi syarikat yang gagal mencapai sekurang-kurangnya 80% KPI, dengan tujuan mengenal pasti masalah serta membincangkan penambahbaikan struktur syarikat.
Syarikat MKD yang gagal mencapai KPI turut diminta mengemukakan penjelasan bersama pelan tindakan bagi memperbaiki prestasi serta kedudukan kewangan.
Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa beberapa syarikat MKD mencatatkan keuntungan termasuk Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank), IJN Holdings Sdn Bhd, Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), SIRIM Berhad dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).