Pergerakan mata wang US dolar nampak terbatas pada dagangan Selasa semalam, sedikit melemah berbanding pengukuhan di awal minggu ketika pasaran mengikuti perkembangan isu pemecatan gabenor Federal Reserve (Fed) oleh Presiden Donald Trump.
Trump bertindak untuk memecat gabenor Fed Lisa Cook yang berdepan dakwaan penipuan pembelian aset rumah.
Didesak untuk meletakkan jawatan oleh Trump, Cook berkeras untuk tidak meninggalkan bank pusat membuatkan Trump mengambil langkah lebih agresif menggunakan undang-undang.
Dalam perkembangan terbaru, Cook kini memfailkan saman untuk menghalang Trump dari memecat beliau.
Menurut peguam Cook, percubaan Trump untuk memecat hanya berdasarkan surat rujukan, tidak mempunyai asas fakta atau undang-undang.
Justeru, tuntutan mahkamah akan dibuat untuk mencabar tindakan yang tidak sah itu.
Mata wang utama lain dalam pasaran dilihat beransur-ansur memulih semula setelah tekanan pengukuhan US dolar di awal minggu.
Namun, perkembangan isu tumpuan serta petunjuk pada data ekonomi terbaru akan terus diperhatikan dalam menilai arah selanjutnya pasaran.
Penyusutan US dolar pada sesi New York semalam dihadkan dengan terbitan angka yang positif pada data pesanan barangan tahan lama dan juga tinjauan keyakinan pengguna AS.
Petunjuk seterusnya adalah pada laporan pertumbuhan ekonomi suku kedua AS yang akan diterbitkan pada Khamis sebelum indeks harga PCE akan menjadi tumpuan Fed di sesi akhir penutup minggu ini.