Sentimen positif yang berlegar dalam pasaran dengan harapan untuk pembukaan semula kerajaan persekutuan Amerika Syarikat (AS) tampaknya tidak berjaya untuk menyokong pemulihan prestasi US dolar.
Sebaliknya raja mata wang itu paparkan penyusutan nilai lanjut lebih ketara di sesi New York semalam ketika pasaran di Amerika juga bercuti sempena Hari Veteran.
Kebimbangan terhadap kemerosotan sektor pekerjaan swasta selepas laporan yang diterbitkan minggu lalu menjadi perhatian pelabur.
Penyelidikan ADP pada Selasa menyatakan anggaran awal menunjukkan majikan swasta kehilangan purata 11,250 pekerja seminggu dalam tempoh 4 minggu yang berakhir pada 25 Oktober.
Namun tumpuan utama pasaran kini adalah terhadap perkembangan situasi government shutdown yang sedang menunjukkan tanda-tanda menuju ke titik penghujung.
Senat AS telah meluluskan rang undang-undang untuk pembiayaan kerajaan itu dan diserahkan kepada Dewan Perwakilan sebelum seterusnya perlu ditandatangani oleh Presiden Donald Trump.
Menjangkakan pembukaan kerajaan selepas ini, firma Goldman Sachs menjangkakan Biro Statistik Buruh akan menerbitkan jadual data baharu antara 13 dan 17 November.
Kerajaan juga berkemungkinan akan menerbitkan laporan pekerjaan beberapa hari selepas pembukaan kerajaan, berkemungkinan sekitar 18 atau 19 November.
Data-data yang diterbitkan akan dinilai sebagai petunjuk penting khususnya buat bank pusat dalam menilai situasi semasa ekonomi sebelum penetapan dasar monetari menjelang mesyuarat Disember.





















































