Harga runcit petrol RON97 dan diesel di Semenanjung Malaysia masing-masing meningkat sebanyak tiga sen seliter bagi tempoh 28 Ogos hingga 3 September depan.
Dalam kenyataan semalam, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa harga baharu RON97 ditetapkan pada RM3.16 seliter berbanding RM3.13 seliter pada minggu sebelumnya.
Menurut kementerian itu, harga runcit petrol RON95 dikekalkan pada paras RM2.05 seliter, manakala harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan juga tidak berubah, iaitu RM2.15 seliter.
Pelarasan harga dibuat berdasarkan formula Kaedah Harga Automatik (APM) yang mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dunia.
MOF turut menjelaskan bahawa harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia kekal lebih rendah berbanding harga apungan pada 10 Jun 2024, iaitu RM3.35 seliter.
Kerajaan akan terus memantau keadaan pasaran serta menyelaras harga runcit petrol RON97 dan diesel dengan mengambil kira perubahan harga minyak dunia, selain memastikan kestabilan harga.