Rangkaian internet Starlink milik CEO Tesla, Elon Musk telah mengalami gangguan yang menjejaskan pengguna di seluruh dunia.
Laman pemantau gangguan dalam talian, Downdetector melaporkan bahawa gangguan internet SpaceX bermula sekitar jam 1:30 tengah hari ET.
Gangguan itu berlaku di seluruh Amerika Syarikat (AS) termasuk Dallas, San Francisco, Phoenix, Chicago, Atlanta, Minneapolis dan Washington DC serta sebahagian di Amerika Selatan, United Kingdom (UK) dan Australia.
Situasi ini telah mengecewakan ramai pengguna dengan sebahagian mereka berkongsi di platform X bahawa ini merupakan insiden kedua dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Pengguna turut menyebut sambungan internet perlahan, perkhidmatan sering terputus-putus dan mengalami pemadaman sepenuhnya.
Sebelum ini, Musk juga menyatakan bahawa keuntungan daripada Starlink akan digunakan untuk membiayai misi manusia ke Marikh.
Walaupun jumlah hasil harian syarikat tidak dapat dipastikan, namun sebarang gangguan perkhidmatan yang meluas berisiko menjejaskan aspirasi mereka ke planet tersebut.
Penganalisis menganggarkan keuntungan Starlink bernilai $150 bilion berdasarkan unjuran pendapatan serta keadaan pasaran semasa, meskipun tiada pengesahan rasmi diumumkan.