Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan Israel akan membenarkan penduduk Palestin meninggalkan Gaza menjelang operasi ketenteraan besar di wilayah itu.
Dalam temu bual dengan penyiar Israel i24NEWS, Netanyahu menegaskan bahawa Israel tidak mengusir penduduk Palestin, sebaliknya ‘membenarkan’ mereka meninggalkan Gaza.
Kenyataan itu dibuat susulan cadangan pemindahan penduduk Gaza termasuk yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mencetuskan kebimbangan rakyat Palestin dan kecaman antarabangsa.
Bagi rakyat Palestin, sebarang pemindahan secara paksa menghidupkan kembali ingatan mereka kepada peristiwa ‘Nakba’ pada 1948 – bencana yang menyaksikan pemindahan besar-besaran rakyat Palestin semasa penubuhan Israel.
Berlaku semasa Perang Arab-Israel 1948, Nakba memaksa lebih 700,000 rakyat Palestin meninggalkan kampung halaman mereka akibat peperangan dan pengusiran oleh Zionis.
Penduduk Palestin juga menganggap Nakba sebagai simbol kehilangan tanah air, hak untuk pulang dan penderitaan berterusan sehingga kini.
Pada awal tahun ini, Trump menimbulkan kontroversi selepas beliau mencadangkan AS mengambil alih Gaza dan memindahkan sekitar 2.4 juta penduduknya ke Mesir dan Jordan.
Netanyahu turut berkata pemerintahannya sedang mencari negara ketiga untuk menempatkan penduduk Gaza susulan cadangan Trump menjadikan wilayah itu sebagai destinasi pelancongan.