Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memaklumkan bahawa Israel merancang untuk menguasai Gaza sepenuhnya tetapi tidak berhasrat untuk mentadbir wilayah itu.
Netanyahu menyatakan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet Keselamatan yang membincangkan pelan terkini susulan siri operasi ketenteraan bertubi-tubi terhadap wilayah Palestin sejak Oktober 2023.
Mesyuarat tersebut diadakan ketika Netanyahu ditekan hebat untuk mencapai gencatan senjata demi menyelamatkan penduduk Gaza dan membebaskan tebusan kumpulan pejuang Palestin.
Semasa mesyuarat kabinet berlangsung, ratusan penunjuk perasaan berhimpun di luar Pejabat Perdana Menteri di Baitulmaqdis serta mendesak supaya perjanjian pembebasan tebusan itu dilaksanakan.
Di saat ketegangan memuncak, Netanyahu memberitahu agensi berita Amerika Syarikat (AS), Fox News bahawa Israel mahu mengambil kawalan penuh ke atas Semenanjung Gaza.
Beliau dijangka mendapat kelulusan Kabinet untuk memperluas serangan darat ke kawasan padat yang dipercayai menjadi lokasi tebusan, lapor media Israel.