Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Barangan dari China kini membanjiri pasaran global pada harga yang sukar ditandingi bukanlah disebabkan kos pengeluaran murah sahaja. Di sebalik label “murah”, realitinya harga ini lahir daripada gabungan kawalan rantaian bekalan secara menyeluruh dan lebihan kapasiti pengeluaran yang semakin menekan industri.
EV: Pengeluaran Lebih Laju Daripada Jualan
Dalam sektor EV, China kini merupakan pengeluar terbesar dunia. CAAM melaporkan pengeluaran kenderaan tenaga baharu (NEV) China pada tahun 2024 adalah sekitar 11–12 juta unit, manakala jualan domestik cuma sekitar 8.5–9.5 juta unit.
Jurang antara pengeluaran dan jualan domestik inilah yang mencipta lebihan dimana mereka mengeksport sekitar 1.2–1.5 juta unit EV setahun.
Apabila terlalu banyak kilang dan jenama beroperasi serentak, pengeluar terpaksa memotong harga untuk mengekalkan volume. Inilah sebab utama harga EV China jatuh dengan pantas, walaupun teknologi dan spesifikasi semakin baik.
Harga rendah ini disebabkan oleh faktor integrasi menegak dimana pengeluar besar mengawal bateri, komponen, pemasangan dan logistik. Namun apabila kapasiti terlalu besar, harga rendah bukan lagi strategi pilihan, tetapi keperluan untuk menyerap lebihan pengeluaran.
Kopi & Ais Krim: Skala Besar, Margin Nipis
Fenomena lebihan kapasiti turut berlaku dalam sektor makanan dan minuman. Dalam segmen kopi dan ais krim contohnya, rantaian F&B berskala besar di China mampu menyeduh puluhan juta cawan kopi sebulan. Namun, apabila jualan domestik bergerak perlahan akibat persaingan sengit, lebihan pengeluaran diserap melalui harga promosi agresif dan akhirnya mengeksport produk siap atau separa siap.
Kopi dan ais krim dijual murah kerana skala pengeluaran besar dan kos unit yang rendah. Apabila terlalu banyak pemain wujud, persaingan harga sesama sendiri menekan margin sehingga hanya pemain besar mampu bertahan.
Kesan Rantaian: Murah Untuk Pengguna, Tekanan Untuk Industri
Bagi pengguna, harga barangan yang murah ini kelihatan sebagai kemenangan. Namun dari sudut ekonomi, lebihan kapasiti yang berpanjangan boleh mencetuskan perlumbaan menurunkan harga (race to the bottom). Margin menyusut, pelaburan baharu ditangguhkan, dan pasaran akhirnya melalui proses penapisan industri.
Barangan China murah bukan sekadar kecekapan atau teknologi yang canggih, tetapi hasil gabungan kawalan sumber, skala pengeluaran besar dan lebihan kapasiti. Selagi pengeluaran melebihi jualan domestik, tekanan harga akan terus dirasai semua sama ada pada kenderaan elektrik bernilai puluhan ribu ringgit, atau secawan kopi dan satu kon ais krim berharga RM2.50.





















































