Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan kini sedang meneliti cadangan untuk menaikkan kadar cukai tembakau.
Kadar cukai tersebut kali terakhir dinaikkan adalah pada September 2014 dengan ahli ekonomi sebelum ini mencadangkan agar ia ditingkatkan kepada 60 hingga 75%.
Anwar menegaskan usaha itu selaras dengan komitmen kerajaan terhadap kesihatan awam dan pembaharuan hasil negara memandangkan kadar cukai tersebut telah lama tidak disemak.
Menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) minggu lalu, Anwar turut mengumumkan peluasan cukai pro-kesihatan daripada hanya produk bergula kepada tembakau, rokok elektronik dan alkohol.
Peluasan cukai bukan sahaja bertujuan meningkatkan hasil negara tetapi juga mendorong perubahan tingkah laku rakyat dan membendung peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD).
Kenyataan itu dibuat ketika beliau ditanya sama ada kerajaan sedang mempertimbangkan kenaikan cukai tembakau dalam Pembentangan Belanjawan 2026 yang dijadualkan pada Oktober ini.
Setakat ini, cukai tembakau di Malaysia merangkumi 58.6% daripada harga runcit serta tiada prosedur tetap bagi pelarasan atau penilaian berkala yang bakal dilaksanakan.