Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan bahawa kerajaan tidak membenarkan sebarang eksport kayu balak, sebaliknya hanya eksport perabot dibenarkan.
Johari turut menyatakan setakat tahun lalu, eksport perabot Malaysia ke luar negara mencapai RM22.3 bilion.
Johari berkata kayu-kayu tersebut akan digunakan untuk pemprosesan dan kegunaan dalam negara.
Kenyataan itu dibuat ketika beliau menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai rancangan kerajaan untuk mengehadkan eksport kayu balak serta membenarkan import dari luar negara.
Beliau juga menambah kerajaan membenarkan pengimportan kayu balak untuk pemprosesan perabot atau bahan pembinaan, asalkan berasal dari negara yang mengamalkan konsep perladangan lestari.
Sekiranya kayu diperoleh daripada negara dengan ladang tidak lestari, ia berisiko menyumbang kepada pembalakan haram dan menjejaskan kelayakan perabot tempatan untuk dikategorikan sebagai lestari.