Krisis gelandangan di England menunjukkan peningkatan yang ketara sepanjang tahun lalu.
Pihak berkuasa tempatan kini menghadapi kesukaran untuk menangani peningkatan permintaan serta tekanan kewangan, menurut laporan media Anadolu Ajansi.
Menurut laporan ‘Homelessness Monitor England 2025’ oleh pertubuhan amal Crisis di United Kingdom (UK), jumlah individu yang tidur di jalanan meningkat sebanyak 20% kepada 4,667 orang pada tahun lalu, hampir dua kali ganda berbanding paras terendah semasa pandemik COVID-19.
Lebih separuh golongan yang tidur di jalanan di London kini bukan warganegara UK, sekaligus mencerminkan peningkatan permohonan perlindungan dan usaha menangani kes-kes yang tertunggak.
Pada tahun 2024, sebanyak 330,000 isi rumah dinilai oleh majlis tempatan, iaitu pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap perkhidmatan awam sebagai gelandangan atau berisiko menjadi gelandangan.
Laporan tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 4% dalam tempoh setahun dan 21% dalam tempoh tiga tahun.
Kes gelandangan di London meningkat lebih pantas dengan kenaikan 7% dalam kalangan individu berisiko dan 27% dalam kalangan mereka yang sudah menjadi gelandangan.
Kajian itu mendapati bahawa peningkatan ketara dalam kes gelandangan berpunca daripada pengusiran penghuni pusat penempatan perlindungan kendalian Pejabat Dalam Negeri, yang meningkat 37%, serta individu yang keluar dari institusi seperti penjara atau hospital yang naik 22%.
Keberkesanan sistem dalam menangani masalah gelandangan dilaporkan semakin menurun, dengan peratusan kes yang berjaya mendapatkan penempatan berkurangan daripada 47% pada 2021 kepada 39% pada 2024.
























































