Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa seramai 113,282 warga asing yang bekerja dalam sektor perladangan di Sabah telah mendaftar dalam sistem data digital berpusat.
Saifuddin berkata proses pendaftaran data oleh kerajaan negeri bertujuan memudahkan pemantauan secara nyata, pengesanan serta pengurusan warga asing yang tinggal dan bekerja di Sabah.
Saifuddin turut menegaskan aktiviti pengumpulan data digital bagi warga asing ini tidak ada kaitan dengan isu kewarganegaraan atau pemberian pemastautin tetap.
Kenyataan itu dibuat ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Sabah (JKPWAS-INDUK) serta Mesyuarat Jawatankuasa Khas Taraf Kewarganegaraan (JKKSK) Sabah.
Beliau juga menambah proses pengumpulan data akan diperluaskan ke sektor lain termasuk pertanian, pembuatan, pengeluaran dan perlombongan.
Mesyuarat tersebut memutuskan moratorium penguatkuasaan bagi memberi ruang kepada pekerja asing mendaftar dalam sistem data digital bagi mengelakkan sebarang konflik antara penguatkuasaan dan pengumpulan data.