Malaysia dan Bangladesh telah menandatangani lapan memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor strategik.
Majlis tandatangan disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Penasihat Bangladesh, Prof Mohammad Yunus semasa lawatan rasmi tiga hari beliau ke Malaysia.
Antara dokumen penting yang dimeterai ialah MoU kerjasama pertahanan antara Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Penasihat Hal Ehwal Luar Bangladesh Md Touhid Hossain.
MoU pembekalan dan infrastruktur gas asli cecair (LNG), produk petroleum serta kemudahan berkaitan turut dimeterai oleh Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Penasihat Bangladesh, M Fouzul Kabir Khan.
Dalam sektor pendidikan, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menandatangani Pertukaran Nota kerjasama latihan pegawai diplomatik dan pendidikan tinggi, mewakili Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Kerjasama ekosistem halal dimeterai menerusi Pertukaran Nota antara Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Zulkifli Hasan dan Pengerusi Eksekutif Pelaburan Bangladesh, Chowdhury Ashik Mahmud Harun.
Sektor perniagaan juga diperkukuh melalui MoU antara MIMOS Services Sdn Bhd dan Dewan Perdagangan serta Perindustrian Bangladesh-Malaysia (BMCCI).
Pada tahun 2024, jumlah dagangan antara Malaysia-Bangladesh mencecah RM13.35 bilion ($2.92 bilion), mencatatkan peningkatan 5.1% berbanding tahun sebelumnya.