Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah menubuhkan Jawatankuasa Penapisan Perolehan bagi meneliti setiap perolehan sebelum dilaksanakan sebagai langkah kawalan.
Dato Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan tindakan itu bertujuan memastikan perolehan selaras dengan keperluan projek dan kelulusan Kementerian Kewangan serta Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
Mohamed Khaled turut menegaskan bahawa kementerian tetap komited memperkukuh integriti dan tadbir urus dalam perolehan aset strategik pertahanan.
Kenyataan itu dibuat ketika beliau menjawab soalan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) mengenai langkah MINDEF bagi memastikan projek strategik seperti kapal tempur pesisir (LCS) bebas daripada isu kelewatan, ketirisan dan kos berlebihan.
Beliau juga menambah bahawa langkah lain ialah memastikan semua permohonan perolehan peralatan pertahanan mendapat perakuan daripada pengguna akhir iaitu Perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Setiap permohonan perlu disemak dan disahkan oleh jawatankuasa di bawah Markas Perkhidmatan yang dipengerusikan oleh ketua perkhidmatan masing-masing.
Permohonan yang diterima akan diteliti untuk memastikan spesifikasi dan kos selaras dengan kehendak pengguna serta mengikut kelulusan peruntukan daripada agensi pusat.