Reserve Bank of Australia (RBA) pada sesi Asia pagi ini (Selasa) menerbitkan laporan minit untuk mesyuarat polisi monetari Ogos yang menjadi tumpuan para pelabur.
Meneliti minit, majoriti ahli bank pusat bersetuju untuk pemotongan lanjut kadar faedah dengan meneruskan langkah pelonggaran dasar dalam usaha menyokong ekonomi.
Pada mesyuarat 12 Ogos lalu, RBA telah menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 3.60%, terendah untuk tempoh lebih 2 tahun.
Sepanjang tahun 2024, bank pusat mengekalkan kadar faedah tidak berubah di paras 4.35% sehinggalah pemotongan kadar dimulakan pada Februari tahun ini.
Setelah 3 kali pemotongan kadar faedah dilakukan, RBA memberi isyarat untuk meneruskan pemotongan lanjut menuju penghujung 2025 ini.
Namun, keputusan akan bergantung kepada data-data terbaru yang bakal hadir dalam menilai keperluan ekonomi yang sewajarnya.
Mata wang dolar Australia tidak menunjukkan reaksi yang ketara selepas minit diterbitkan, namun tetap mengalami penyusutan nilai yang perlahan.
Sementara mata wang US dolar pula dilihat sedang mendapat sokongan untuk mengukuh sejak sesi semalam, berkemungkinan boleh menambah tekanan kepada dollar Aussie.
Tumpuan pelabur akan terarah kepada laporan data inflasi Australia pada Rabu untuk menilai jangkaan lanjut terhadap dasar monetari RBA.
Ramalan bacaan inflasi tahunan Australia pada Julai adalah meningkat semula kepada 2.3% selepas bacaan rendah pada 1.9% dicatatkan bulan sebelumnya.