MNRB Holdings Bhd merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM168.43 juta bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2025, meningkat 82.7% berbanding RM92.20 juta pada tahun lalu.
MNRB menjelaskan prestasi kukuh ini dipacu oleh pertumbuhan pendapatan dalam insurans dan takaful termasuk pengalaman tuntutan yang positif dalam segmen insurans dan takaful semula.
Pendapatan firma itu juga meningkat kepada RM975.56 juta daripada RM857.58 juta disokong oleh sumbangan lebih kukuh daripada perniagaan insurans semula dan takaful umum.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Rudy Rodzilla Che Lamin berkata pendapatan perkhidmatan insurans dan takaful melonjak sebanyak 223.5% susulan pertumbuhan pendapatan yang kukuh.
Rudy turut memberitahu penambahbaikan ini mencerminkan tuntutan lebih baik dalam segmen insurans semula hasil disiplin pengunderaitan dan kepelbagaian risiko serta mengesahkan usaha transformasi untuk nilai jangka panjang.
Kumpulan itu turut mencatatkan hasil pelaburan sebanyak RM165 juta pada suku pertama tahun kewangan 2026, meningkat 23.5% berbanding 133.6 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Prestasi suku tahunan ini meningkatkan pulangan tahunan ke atas ekuiti (ROE) kepada 17.8% daripada 11.1% pada suku pertama 2025, mencerminkan produktiviti modal dan nilai pemegang saham lebih tinggi.