Morgan Stanley kini menjangkakan Rizab Persekutuan (Fed) akan mula menurunkan kadar faedah pada September, susulan perubahan nada daripada Pengerusi Jerome Powell di simposium Jackson Hole. Dalam nota penyelidikan, penganalisis bank tersebut menulis Powell menunjukkan “kebimbangan lebih besar terhadap risiko pasaran buruh dan condong ke arah pemotongan kadar demi pengurusan risiko.”
Unjuran baharu Morgan Stanley ialah pemotongan 25 mata asas pada bulan hadapan, diikuti potongan 25 mata asas lagi pada Disember. Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dijangka meneruskan pengurangan setiap suku tahun sebanyak 25 mata asas sehingga kadar dasar mencapai 2.75%–3.0% menjelang akhir 2026. Ramalan ini lebih awal berbanding unjuran sebelumnya yang menjangka Fed kekal menahan kadar sehingga Mac 2026 sebelum menurun ke paras 2.50%–2.75%.
Waima begitu, Morgan Stanley menegaskan bahawa pengurangan kadar pada September dilihat masih belum pasti. Jika laporan pekerjaan Ogos menunjukkan tambahan 225,000 pekerjaan atau inflasi berkaitan tarif kembali pantas, Fed mungkin akan menangguhkan langkah tersebut. Bank tersebut, menambah bahawa potongan lebih besar pada awal kitaran hanya mungkin berlaku sekiranya data pekerjaan menunjukkan kejatuhan besar, dan tidak menolak kemungkinan wujudnya perbezaan pendapat dalam mesyuarat September.
Menurut firma tersebut, perubahan utama ialah bagaimana Fed kini bertindak balas terhadap data semasa. Walaupun inflasi dijangka kekal di atas sasaran 2% sehingga hujung tahun, penggubal dasar memberi lebih penekanan kepada risiko kelembapan pasaran buruh. Morgan Stanley menegaskan walaupun potongan mungkin bermula lebih awal, jumlah keseluruhan kitaran pelonggaran sedikit lebih kecil berbanding ramalan awal.