Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen menyifatkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai satu ‘masalah’ kepada dunia.
Frederiksen menegaskan akan berusaha menekan Israel berhubung isu perang di Gaza memandangkan Denmark kini memegang jawatan Presiden Kesatuan Eropah (EU).
Frederiksen turut mengecam krisis kemanusiaan di Gaza yang disifatkan sebagai ‘amat mengerikan dan mencapai tahap bencana’ serta mengkritik projek penempatan baharu di Tebing Barat.
Beliau juga berhasrat mempertimbangkan tekanan politik dan sekatan terhadap peneroka, menteri atau Israel secara keseluruhan termasuk kemungkinan sekatan perdagangan atau penyelidikan.
Pemimpin itu menjelaskan Denmark tidak menolak sebarang pilihan awal serta merangka sekatan terhadap pihak paling berpengaruh sambil menegaskan negara itu tidak berhasrat mengiktiraf Palestin.
Agensi pertahanan awam Gaza turut melaporkan sekurang-kurangnya 39 orang terbunuh dalam serangan Israel.
Serangan telah diperhebatkan sejak tentera rejim memberi isyarat mengenai arahan baharu yang menggesa orang awam meninggalkan bandar Gaza menjelang satu lagi serangan.