Nvidia dan AMD bersetuju untuk memberikan kerajaan Amerika Syarikat (AS) sebanyak 15% daripada hasil jualan cip komputer canggih mereka seperti Nvidia H20 yang digunakan untuk aplikasi kecerdasan buatan (AI).
Presiden AS Donald Trump telah menghentikan penjualan cip H20 ke China pada April, namun bulan lalu AS membenarkan Nvidia menyambung semula jualan dan berharap memulakan penghantaran segera.
Seorang pegawai AS turut mengesahkan pada Jumaat lepas bahawa Jabatan Perdagangan AS telah mula mengeluarkan lesen untuk penjualan cip H20 ke China.
Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick berkata rancangan penyambungan semula jualan cip adalah sebahagian rundingan AS-China untuk nadir bumi dan menyifatkan H20 sebagai cip keempat terbaik.
Apabila ditanya mengenai kesediaan Nvidia membayar 15% daripada pendapatan kepada AS, jurucakapnya menjelaskan mereka sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan AS dalam penglibatan mereka di pasaran global.
Financial Times (FT) juga melaporkan bahawa pembuat cip bersetuju dengan pengaturan itu sebagai syarat untuk mendapatkan lesen eksport bagi semikonduktor mereka termasuk cip MI308 dari AMD.
Laporan itu menyatakan bahawa pentadbiran Trump masih belum membuat keputusan mengenai cara penggunaan wang tersebut.