Tumpuan pasaran masih terarah kepada perkembangan rundingan dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China selain situasi penutupan kerajaan AS terus diperhatikan.
Tekanan perang dagang sedikit mereda apabila Presiden Donald Trump memaklumkan pada Rabu bahawa pertemuan panjang dijadualkan bersama Presiden Xi Jinping di Korea Selatan bakal membawa keputusan yang positif.
Justeru, pasaran melihat penyusutan semula US dolar pada dagangan sesi New York semalam susulan sentimen yang kembali memulih.
Sementara itu, Trump telah membatalkan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin dan merasakan ini adalah masa untuk laksanakan sekatan ke atas Moscow.
Mata wang Pound sedikit meningkat di sesi New York susulan penyusutan US dolar, memulih dari tekanan dari sesi sebelumnya.
Di sesi Eropah semalam, Pound mencuri tumpuan dengan kejatuhan nilai yang mendadak memberi reaksi terhadap data inflasi UK terbaru yang diterbitkan.
Sasaran untuk kenaikan harga tidak berlaku, sebaliknya kadar inflasi kekal di paras bulan sebelumnya untuk September, menjangkakan pemotongan kadar faedah lanjut oleh Bank of England (BOE) di penghujung 2025 ini.
Mata wang Yen pula dilihat memaparkan prestasi merosot dengan kejatuhan bulanan terbesar sejak Julai.
Yen susut ke paras terendah 1 minggu berbanding US dolar selepas Perdana Menteri Jepun baharu, Sanae Takaichi sedang mempersiapkan pakej rangsangan ekonomi yang dijangka melepasi jumlah tahun lalu 13.9 trilion yen untuk membantu isi rumah berdepan cabaran inflasi.