Pasaran saham Amerika Syarikat (AS) mengalami peningkatan positif selepas mencatatkan pergerakan sama kelmarin.
Semua indeks utama melonjak disokong oleh Presiden Donald Trump mengumumkan bahawa Israel dan Iran bersetuju melaksanakan gencatan senjata selepas konflik perang berlarutan yang digelar sebagai “Perang 12 hari.”
Niaga hadapan Dow Jones menaik 1.19%, S&P 500 mengukuh 1.11%, manakala Nasdaq berfokus kepada industri teknologi menokok 1.43%.
Trump memaklumkan Iran akan memulakan jeda selama 12 jam, disusuli oleh Israel, sebelum kedua-dua pihak menamatkan permusuhan secara rasmi 24 jam kemudian.
Pengumuman tersebut dibuat selepas serangan pengeboman oleh AS ke atas tiga tapak Iran, iaitu Fordow, Natanz dan Isfahan pada Ahad lalu.
Secara tidak langsung, kenyataan Trump itu berkemungkinan membuka jalan untuk menamatkan konflik berdarah selama 12 hari antara Israel-Iran.
Namun, ketahanan gencatan senjata itu terus dipersoalkan selepas Trump mengecam kedua-dua negara kerana melanggar perjanjian sejurus selepas pengumumannya dibuat.
Menurut laporan Reuters, Israel melakukan serangan udara ke atas pemasangan radar di luar Tehran pada jam 3 pagi semalam – beberapa jam sebelum gencatan senjata mula berkuat kuasa dan berlanjutan hingga ke awal pagi.
Tambahan pula, Trump turut memperingatkan Israel agar menghentikan serangan dan menarik semula juruterbang mereka bagi mengelakkan keruntuhan rundingan gencatan senjata.
Dalam tumpuan lain, Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell berkata bank pusat belum bersedia menurunkan kadar faedah kerana menunggu data inflasi lebih jelas dan tanda kestabilan ekonomi semasa berucap di hadapan Kongres semalam.
Beliau juga kekal berwaspada terhadap risiko peningkatan inflasi sementara pasaran buruh masih stabil, dan terus memantau perkembangan dasar ekonomi global dan tempatan.
Jumlah dagangan bursa AS merekodkan $16.94 bilion berbanding purata $18.12 bilion selama 20 hari dagangan penuh.
Untuk fahami lebih mendalam situasi pergerakan pasaran saham global dan faktor-faktor yang mempengaruhinya, jom sertai komuniti HUSTLE24HOUR Familia dengan ahli-ahli aktif mengadakan perbincangan setiap hari. KLIK LINK UNTUK SERTAI!