Tiada perubahan pada faktor yang memacu pergerakan pasaran menuju ke penghujung minggu ini, US dolar melanjutkan lagi corak penyusutan ketika jangkaan untuk pemotongan kadar faedah oleh bank pusat meningkat.
Selepas bacaan inflasi pengguna Amerika Syarikat (AS) untuk Julai hadir dengan angka yang tidak menepati ramalan pada Selasa, pelabur akan beri tumpuan pula kepada bacaan inflasi pengeluar (PPI) AS pada sesi New York malam ini (Khamis).
Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent menjangkakan siri pemotongan kadar faedah untuk berlaku dengan kemungkinan Federal Reserve (Fed) akan memulakan pelonggaran dasar dengan 50 mata asas pemotongan.
Sementara Presiden Donald Trump terus mengulangi kritikan terhadap Pengerusi Fed Jerome Powell dan kini menamakan 11 calon untuk menggantikan jawatan ketua bank pusat itu.
Selain nama-nama dalam pentadbiran Fed, Trump juga turut mencalonkan pegawai dari firma Jefferies dan BlackRock dalam senarainya.
Suasana pasaran yang masih membuatkan pelabur berwaspada bakal mengekalkan corak semasa, menjangkakan penyusutan lanjut US dolar namun boleh jadi reaksi berbeza ketika data diterbitkan.
Mata wang Eropah terus memanfaatkan situasi dengan Euro meningkat ke paras ketinggian baharu 2 minggu berbanding US dolar walaupun data terbaru untuk Jerman tidaklah menunjukkan angka yang memuaskan.
Sementara Pound pula catat kenaikan tertinggi terbaru 5 minggu dengan laporan pekerjaan UK tidak menjadi penghalang mata wang Britain itu mengekalkan prestasi cemerlang.
Mata wang Asia juga pulih menyaksikan dolar Aussie semakin meningkat walaupun sebelum ini ditekan dengan keputusan pemotongan kadar faedah oleh Reserve Bank of Australia (RBA).
Laporan pekerjaan Australia diterbitkan pada sesi Asia pagi ini menunjukkan bacaan positif dengan pertambahan pekerjaan yang baik dan kadar pengangguran tepati ramalan untuk sedikit menurun.
Sementara, mata wang yen Jepun juga semakin memulih beberapa hari daripada tekanan dagangan pada minggu lepas.
Antara tumpuan pasaran yang lain, dagangan emas menunjukkan tanda-tanda pemulihan harga sementara Bitcoin catat rekod tertinggi terbaru melepasi $124,000.