Kerajaan Indonesia menarik balik elaun perumahan ahli Parlimen selepas gelombang protes besar-besaran tercetus di beberapa bandar utama.
Kemarahan rakyat negara itu memuncak apabila didedahkan setiap daripada 580 anggota Parlimen menerima elaun bulanan sebanyak 50 juta rupiah, kira-kira RM14,500, sedangkan gaji minimum Jakarta hanya sekitar 5.3 juta rupiah atau RM1,537 sebulan.
Protes bertukar rusuhan apabila seorang penghantar makanan, Affan Kurniawan, terkorban dilanggar kenderaan perisai polis, sekali gus mencetuskan kebangkitan rakyat yang menuntut keadilan dan pemotongan keistimewaan wakil rakyat.
Bagi meredakan keadaan, Presiden Prabowo Subianto mengumumkan pembatalan elaun tersebut dan menggantung semua perjalanan rasmi luar negara ahli Parlimen.
Beliau juga menegaskan siasatan penuh sedang dijalankan berhubung insiden kematian Kurniawan.
Rusuhan setakat ini menyebabkan beberapa kematian, ratusan cedera, serta kerosakan besar termasuk bangunan awam dibakar dan rumah ahli politik diceroboh.
Krisis ini turut menjejaskan pasaran kewangan apabila indeks saham jatuh dan nilai rupiah menjadi tidak menentu.
Langkah kerajaan menarik balik elaun dianggap usaha segera menenangkan rakyat, namun penganalisis berpendapat kejadian ini menunjukkan perlunya reformasi institusi serta ketelusan lebih besar dalam pentadbiran Indonesia.