Syarikat media sosial Amerika Syarikat, Reddit Inc telah memfailkan saman untuk menggesa Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan Australia yang melarang individu berusia bawah 16 tahun menggunakan media sosial.
Pengendali media itu menyifatkan undang-undang tersebut sebagai satu pencabulan terhadap kebebasan bersuara dalam konteks politik.
Australia telah menguatkuasakan undang-undang yang menetapkan had umur minimum untuk mengakses media sosial dua hari lalu, sekali gus menjadikannya negara pertama di dunia berbuat demikian.
Reddit dan sembilan platform lain termasuk Instagram milik Meta, YouTube milik Alphabet, serta TikTok telah menentang langkah itu selama lebih setahun, namun akhirnya menyatakan bahawa mereka akan mematuhinya.
Platform-platform tersebut diwajibkan menghalang pengguna bawah umur atau berdepan denda $49.5 juta, manakala pengguna bawah umur dan penjaga mereka tidak akan dikenakan sebarang hukuman.
Platform berkenaan menegaskan bahawa mereka akan mematuhi peraturan itu dengan menggunakan kaedah seperti penetapan umur berdasarkan fakta, aktiviti dalam talian, serta anggaran umur melalui swafoto.
























































