Ringgit dibuka sedikit kukuh berbanding dolar AS, sejajar dengan ramalan mencapai RM4.10 menjelang akhir tahun, susulan kenyataan dovish daripada pegawai Federal Reserve (Fed) yang melemahkan dolar AS.
Pada jam 10:40 pagi, ringgit berada paras 4.1300 iaitu mengukuh 0.19% berbanding dolar AS sejak dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan ringgit akan mengekalkan momentum pada paras positif hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa pihak bank telah menyemak semula unjuran ringgit kepada RM4.10 daripada RM4.15 menjelang akhir tahun ini, susulan jurang kadar faedah yang semakin berkurang antara Kadar Dana Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dan Kadar Dasar Semalaman Malaysia.
Pada pembukaan, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding yen kepada 2.6366/6434 daripada 2.6392/6426 semalam, dan mengukuh berbanding euro kepada 4.7652/7773 daripada 4.7700/7757, namun sedikit lemah berbanding pound Britain kepada 5.4209/4346 daripada 5.4153/4219 sebelum ini.
Ringgit juga diniagakan lebih rendah berbanding mata wang ASEAN.
Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1697/1783 daripada 3.1689/1730 semalam, dan jatuh berbanding baht Thailand kepada 12.7776/8184 daripada 12.7324/7525.
Ia kekal stabil berbanding rupiah Indonesia kepada 247.7/248.4 daripada 247.7/248.1 dan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 7.02/7.04. – Bernama
























































