Peminjam kenderaan di Malaysia kini berpeluang menikmati penjimatan lebih besar apabila membuat pembayaran pinjaman lebih awal.
Inisiatif itu dilaksanakan selepas kerajaan meneliti rancangan untuk memansuhkan kaedah ‘Rule of 78’ (Peraturan 78) yang selama ini dianggap tidak adil kepada pengguna.
Pemansuhan kaedah ini, yang terkandung dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Sewa Beli 2025, akan menamatkan penggunaan sistem kadar faedah ‘flat-rate’ (kadar tetap) dan digantikan dengan sistem ‘reducing-balance’ (baki berkurangan).
Menurut laporan analisis BIMB Securities Research, sistem lama itu menyebabkan faedah dibebankan pada peringkat awal (front-loading).
Kaedah lama juga secara tidak langsung mendorong peminjam memilih tempoh pinjaman lebih panjang.
Di bawah sistem baharu, faedah hanya dikenakan berdasarkan baki pinjaman yang tinggal, bukannya dibebankan pada awal tempoh.
Peminjam yang menyelesaikan hutang kereta lebih awal atau membuat pembayaran sekaligus (lump sum) akan memperoleh penjimatan lebih ketara.
Sistem baki berkurangan yang baharu ini dianggap lebih adil kerana peminjam kini hanya akan membayar faedah berdasarkan baki pinjaman yang masih ada.
Menurut Bank Securities Research, rangka kerja baharu ini ‘memberi penjimatan signifikan kepada peminjam yang memilih tempoh lebih pendek atau membuat pembayaran awal.’
Penganalisis turut menjangkakan margin keuntungan bank akan ‘mengecil sedikit’ di bawah sistem baharu, dengan bank berkemungkinan memerlukan bayaran pendahuluan (down-payment) lebih tinggi.
Langkah ini dijangka menguntungkan jenama nasional seperti Proton dan Perodua yang menguasai segmen kenderaan nilai rendah di Malaysia.























































