Hubungan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan India kian tegang apabila pelaksaan tarif berganda oleh Presiden Donald Trump bermula hari ini.
Sebelum ini, Trump telah mengugut untuk mengenakan tambahan tarif sebanyak 25% ke atas India sebagai balasan tindakan negara itu yang masih meneruskan urusan pembelian minyak dengan Rusia.
Justeru, tarif terhadap barangan import India yang meningkat kepada 50% telah bermula yang dijangka akan memberi tekanan terhadap ribuan pekerjaan dan pengeksport kecil.
Kementerian Perdagangan India ada memaklumkan bahawa pengeksport yang terkesan dengan tarif akan menerima bantuan kewangan dan digalakkan untuk mempelbagaikan pasaran seperti ke China, Amerika Latin dan Timur Tengah.
Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS memaklumkan kepada penjual pengecualian selama 3 minggu untuk barangan India yang diangkut ke AS sebelum tarikh akhir tengah malam.
Juga pengecualian diberikan ke atas produk seperti keluli, aluminium, tembaga dan lain-lain yang tertakluk pada tarif berasingan di bawah undang-undang perdagangan keselamatan negara Seksyen 232.
Pegawai di Kementerian Perdagangan India menyatakan tarif purata terhadap import AS adalah sekitar 7.5%, manakala pejabat Wakil Perdagangan AS telah menggariskan kadar sehingga 100% terhadap auto dan kadar tarif terpakai purata sebanyak 39% untuk produk perladangan AS.