Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan menamatkan jawatannya sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkuat kuasa 2 Disember 2025.
Tengku Zafrul menyatakan bahawa hari terakhirnya di MITI adalah pada 2 Disember ini kerana beliau sudah tidak menjadi anggota Dewan Negara.
Kenyataan itu disampaikan semasa beliau menghadiri Taklimat Media Kad Laporan Prestasi MITI Suku Ketiga 2025, hari ini.
Ketika ditanya sama ada beliau akan terus kekal dalam kerajaan sebagai penasihat kanan, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa perkara itu bergantung kepada keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, beliau akan terus membantu proses peralihan bersama Menteri MITI yang bakal dilantik.
Mengenai penggantinya kelak, Tengku Zafrul enggan mengulas lanjut dan secara berseloroh membalas soalan sama kepada wartawan yang hadir.
Beliau memulakan penggal kedua sebagai anggota Dewan Negara pada Disember 2022, iaitu penggal maksimum yang dibenarkan.
Sebelum menyertai Kabinet, Tengku Zafrul berkhidmat lebih 22 tahun dalam industri perbankan dan perkhidmatan kewangan, termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd, serta Presiden Pesuruhjaya PT Bank CIMB Niaga di Indonesia.























































