Presiden Donald Trump mengejutkan pasaran dengan pengumuman pemecatan Gabenor Federal Reserve (Fed) Lisa Cook yang sebelum ini terpalit dengan dakwaan penipuan aset hartanahnya.
Sebelum ini beliau telah pun memberi amaran untuk tindakan penyingkiran Cook sekiranya beliau tidak meletakkan jawatan dengan segera.
Situasi ini turut mengundang spekulasi yang bercampur dalam pasaran berikutan kejayaan Trump untuk menyingkirkan ahli bank pusat meningkatkan jangkaan untuk Pengerusi Jerome Powell juga berisiko untuk dilucutkan jawatan.
Para pelabur juga sedang menyaksikan institusi kewangan terbesar dunia itu kini goyah dengan campur tangan kuasa kerajaan untuk menentukan barisan pimpinan.
Justeru, banyak pihak mula melihat bahawa Trump berupaya untuk menggantikan ketua bank pusat mengikut bias yang beliau mahukan.
Kebimbangan yang tercetus itu telah mendorong pengukuhan semula US dolar yang kembali memulih dari kejatuhan nilai di penutup minggu lepas.
Pelabur masih menghadam isyarat Powell di acara simposium Jackson Hole dengan nada dovish berkaitan dasar monetari bank pusat.
Tekanan terhadap pasaran buruh menguatkan jangkaan untuk langkah pemotongan kadar faedah bakal dilaksanakan oleh Fed pada mesyuarat September.
Data jualan rumah baharu AS yang diterbitkan dengan angka yang lebih baik dari ramalan untuk bulan Julai turut memberi sokongan kepada US dolar.
Pada sesi New York malam ini pula (Selasa), data pesanan barangan tahan lama dan tinjauan keyakinan pengguna AS akan menjadi tumpuan selain mempengaruhi mata wang US dolar.