Ketidaktentuan terus melanda pasaran menuju dagangan ke penutup minggu ini dengan pergerakan bagi mata wang utama kekal bercampur-campur.
US dolar mendatar pada sesi Asia dan Eropah semalam selepas paparkan pengukuhan nilai beberapa hari sebelumnya ketika sentimen berisiko kekal memacu pasaran.
Namun, di sesi New York semalam US dolar mula menunjukkan penyusutan semula menyambung dagangan ke sesi Asia pagi ini (Jumaat).
Konflik perang Iran-Israel masih lagi diperhatikan, memasuki hari ke-8 selepas serangan pertama Israel dimulakan pada Jumaat lepas.
Menambah ketegangan dalam situasi perang apabila campur tangan Amerika Syarikat (AS) yang telah pun menggerakkan pesawat perang mereka untuk mengawal ruang udara Iran.
Presiden Donald Trump tidak memberi jawapan jelas sama ada Amerika akan sertai Israel untuk menyerang Iran, namun pasaran kini sedang bersedia dengan situasi tersebut.
Selepas keputusan mesyuarat FOMC diketahui pada awal pagi Khamis semalam, pasaran turut memberi tumpuan kepada beberapa bank pusat yang lain.
Swiss National Bank (SNB) menurunkan kadar faedah 25 mata asas daripada 0.25% ke paras 0.00%.
Sementara Bank of England (BOE) menepati ramalan untuk mengekalkan kadar faedah tidak berubah di paras 4.25%.
Gabenor BOE Andrew Bailey mengekalkan nada dovish mengulas berkenaan situasi ekonomi yang tidak menentu dan kadar inflasi kekal bergerak pada landasan penurunannya.
Pound walau bagaimanapun berjaya paparkan lantunan nilai dari paras terendah 4 minggu berbanding US dolar yang dicecah pada penurunan sebelum ini.
Untuk penutup minggu ini, pasaran akan meneliti terbitan data inflasi Jepun di sesi Asia dan data jualan runcit UK di sesi Eropah.
Pelabur perlu peka dengan data-data ekonomi tumpuan yang diterbitkan dalam pasaran yang boleh mempengaruhi perubahan pada pergerakan mata wang utama. Program HUSTLE24HOUR turut membincangkan berkenaan data-data ekonomi dan impaknya terhadap pasaran setiap hari. Sertai komuniti HUSTLE24HOUR segera, KLIK LINK INI.