US dolar pamer pengukuhan nilai pada pembukaan dagangan awal minggu ini ketika terdapat acara tumpuan penting yang berlangsung.
Sebelum simposium Jackson Hole akan diadakan di penghujung minggu, pelabur terlebih dahulu memberikan perhatian terhadap pertemuan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy pada Isnin semalam.
Trump yang mempengerusikan acara pertemuan yang turut dihadiri oleh para pemimpin Eropah dalam membincangkan penyelesaian untuk menamatkan perang antara Ukraine dengan Rusia.
Trump menyatakan hasrat AS untuk membantu Eropah dalam jaminan keselamatan untuk Ukraine dan berharap persidangan pada Isnin semalam akan membawa kepada pertemuan bersama Presiden Rusia Vladimir Putin yang diyakini turut mahu menamatkan perang.
Zelenskiy menyambut baik penglibatan AS dalam usaha membantu menyelesaikan peperangan yang berlanjutan itu, bukan sekadar gencatan sebaliknya keamanan yang sebenar.
Perbincangan tersebut turut membawa persetujuan pembelian dron AS dengan Ukraine menawarkan pembelian senjata AS bernilai $90 bilion.
Pelabur kekal berwaspada memerhatikan pergerakan mata wang utama khususnya US dolar yang sedang mengukuh.
Menjelang ucapan Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell di Jackson Hole penghujung minggu ini, arah pergerakan harga boleh berubah-ubah.
Laporan minit mesyuarat FOMC dan data PMI AS boleh mempengaruhi pergerakan mata wang US dolar menuju dagangan ke penghujung minggu.
Untuk data tumpuan hari ini (Selasa), data inflasi Kanada bakal menjadi tumpuan diterbitkan pada sesi New York malam ini.
Ramalan kadar inflasi Kanada bagi bulan Julai kembali meningkat semula selepas catat bacaan perlahan pada bulan sebelumnya.