Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Isu besar kini melanda arena bola sepak dunia menjelang Piala Dunia 2026 apabila wartawan Britain, Piers Morgan semalam mencadangkan lapan negara utama Eropah supaya mempertimbangkan untuk menarik diri daripada kejohanan tersebut.
Cadangan itu diambil susulan kontroversi melibatkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan pengaruhnya terhadap kejohanan bola sepak yang bakal dianjurkan di AS, Kanada dan Mexico.
Ketegangan ini berpunca daripada tindakan Trump yang mencetuskan kekecohan politik antarabangsa, termasuk cubaan menguasai Greenland, serta ancaman tarif terhadap negara Eropah yang menghalang agenda Washington untuk mengambil alih pulau berkenaan.
Di tengah-tengah kekacauan ini, keputusan FIFA menganugerahkan Hadiah Keamanan FIFA kepada Trump semasa sesi undian Piala Dunia lalu turut menimbulkan kemarahan pelbagai pihak.
Pada masa yang sama, pengumuman senarai larangan perjalanan yang semakin meluas pada tahun 2025 telah menimbulkan persoalan besar mengenai kedudukan negara-negara peserta dalam Piala Dunia 2026.
Ahli Politik Jerman, Jurgen Hardt menyarankan agar Jerman sebagai juara empat kali memboikot kejohanan tersebut sebagai amaran keras kepada Trump berhubung isu kedaulatan Greenland.
Dalam satu kenyataan di Platform X, Piers Morgan menyarankan England, Perancis, Sepanyol, Jerman, Portugal, Belanda, Norway dan Itali supaya menarik diri daripada menyertai kejohanan Piala Dunia.
Beliau turut berpendapat tindakan tersebut adalah wajar diambil selari dengan proses rundingan tarif yang sedang berlangsung dengan Presiden Trump.
Menurut Morgan, penarikan lapan daripada sepuluh pasukan dalam kejohanan berprestij itu bakal memberi impak besar dan menggegarkan landskap bola sepak antarabangsa.
Walau bagaimanapun, Itali merupakan satu-satunya negara yang masih belum mengesahkan tempat ke kejohanan 4 tahun sekali itu, namun mereka berpeluang layak menerusi penentuan pusingan kalah mati.
Dalam pada itu, isu boikot daripada lapan kuasa besar bola sepak Eropah berisiko menggugat kredibiliti kejohanan, malah memberi tamparan hebat kepada FIFA dan AS sebagai tuan rumah.
Situasi ini jelas membuktikan bahawa bidang sukan dan politik kini saling berkait rapat, menjadikan Piala Dunia 2026 sebagai medan pertempuran politik lebih sengit daripada yang dijangkakan.



















































